KUALA LUMPUR: Lebih 10,000 rakyat Malaysia berbilang kaum tampil menyertai program persembahan kilat berkumpulan, 'Keretapi Sarong 2023' (KS2023) sempena sambutan Hari Malaysia di Dataran Merdeka, hari ini.

Malah program bertemakan'Etnik dan Perpaduan' itu turut menarik perhatian ramai pelancong asing yang berada di ibu negara dengan turut sama menyertainya.

Suasana sambutan itu juga meriah dengan sebahagian besar peserta mengenakan pakaian tradisional termasuk kain sarung dan bersama-sama menari serta menyanyi lagu-lagu rakyat serta lagu berentak irama Malaysia.


Orang ramai tidak melepaskan peluang menyertai KS2023 di Dataran Merdeka. - Gambar/ Bernama

Kemeriahan suasana program ini yang menyaksikan rakyat Malaysia mengenepikan segala perbezaan dan bersama-sama meraikan perpaduan, dapat dilihat di banyak stesen tren termasuk Putrajaya Sentral (KLIA Transit), Subang Jaya (LRT), Bandar Utama (MRT), Ampang (LRT), Gombak (LRT), Kajang (MRT) dan KL Sentral (LRT).

Menurut penganjur, LOCCO iaitu organisasi yang membantu mempromosikan aktiviti kebudayaan menerusi penganjuran Keretapi Sarong sejak 2017, program ini tidak hanya terhad di Kuala Lumpur.

Sebaliknya, ia berlangsung serentak di Johor Baharu (sepanjang Sungai Segget), Kota Bharu (LaRocka Park, Tunjong Kota Bharu, Kelantan), Ipoh (KTMB Ipoh), dan Kuala Terengganu (Kampung Budaya Terengganu).

Malah, menurut LOCCO sambutan turut diadakan di Battersea Power Station di London.


Antara gelagat peserta Keretapi Sarong pada Majlis Perasmian Festival Permainan Malaysia @ Kuala Lumpur 2023 di Dataran Merdeka hari ini. - Gambar/ Bernama

Program Keretapi Sarong dimulakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Random Alphabet pada 2012 sebelum diambil alih LOCCO pada 2017, membabitkan ribuan peserta menaiki pengangkutan awam dengan memakai kain sarung sama ada batik atau pelekat sebagai seragam utama.

Penganjuran program pada tahun ini mendapat kerjasama pelbagai pihak antaranya Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan (MOTAC), Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara (JKKN) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Rapid KL, Air Asia, Bulan Bintang dan Mr D.I.Y.

Peserta berada di Stesen LRT Ampang pada Program Keretapi Sarong sempena Hari Malaysia 2023 yang diadakan di Dataran Merdeka hari ini. - Gambar/ Bernama